Saturday, December 25, 2010

Info Sihat




Seramai 16.8 juta atau 60 peratus daripada 28 juta penduduk Malaysia mengalami masalah kegemukan termasuk golongan kanak-kanak dan jumlah itu menunjukkan peningkatan membimbangkan sejak akhir-akhir ini.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 50 peratus atau sebanyak 8.4 juta orang mengalami masalah obesiti manakala baki 50 peratus lagi merupakan penduduk melebihi berat badan ideal.
Statistik ini membimbangkan kebanyakan wanita di Malaysia. Lebih-lebih lagi, memilik tubuh badan yang langsing menjadi idaman setiap wanita.

Kesihatan tanggungjawab
bersama

TAHUN 2010 banyak memberi cabaran kepada Kementerian Kesihatan dalam usaha memberi kesedaran tentang kesihatan kepada masyarakat.
Rakyat negara ini berdepan dengan risiko tinggi menghidap penyakit tidak berjangkit akibat gaya hidup dan amalan pemakanan yang tidak sihat.
Kes penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti hipertensi, diabetes dan obesiti didapati semakin meningkat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kajian 10 tahun dari 1996 hingga 2006 menunjukkan NCD mencatatkan peningkatan ketara dengan hipertensi meningkat sebanyak 44 peratus, diabetes sebanyak 80 peratus dan obesiti hampir 220 peratus.
"Penyakit ini umumnya adalah berpunca daripada pemilihan gaya hidup. Kurang bersenam, tabiat pemakanan tidak sihat dan terlalu banyak stres adalah penyumbang kepada penyakit ini.
"Saya berharap entiti penjagaan kesihatan swasta dan awam boleh bekerjasama untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai langkah yang boleh diambil untuk melindungi diri mereka daripada penyakit berkenaan," katanya.
Pihak kementerian telah menyediakan peruntukan khas dan melaksanakan sebanyak 55 projek intervensi NCD (sebagai projek demonstrasi) di seluruh Malaysia.
Antara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan bagi Intervensi NCD dalam komuniti adalah saringan penyakit kardiovaskular (BMI, tekanan darah,
gula dan kolesterol dalam darah), kesihatan mental, status merokok dan pengambilan alkohol (di beberapa lokasi tertentu).
Selain itu, pihak kementerian juga menggalakkan aktiviti fizikal dan senaman seperti senamrobik, poco-poco, fitball-robik, program berjalan kaki dan taici.
Program menjurus kepada pemakanan turut dilaksanakan dengan mengadakan demonstrasi masakan sihat, peraduan masakan sihat, pameran, ceramah dan motivasi kesihatan.
Kementerian mensasarkan peningkatan jangka hayat penduduk kepada kira-kira 82 atau 83 tahun daripada 76 (wanita) dan 73 (lelaki) pada masa ini menjelang 2020. Langkah itu diharap dapat meningkatkan jangka hayat penduduk setanding dengan negara-negara maju seperti United Kingdom (80) dan Jepun (85).

Utusan Malaysia Online


Menentukan Berat Badan Sesuai

Tahukah anda bagaimana hendak menentukan berat badan yang sesuai untuk diri anda? Ini dia satu cara mudah untuk menentukan berat badan yang sesuai:

Untuk Perempuan: Berat badan yang sesuai untuk perempuan dengan ketinggian 5 kaki adalah 100 paun. Untuk setiap satu inci tambahan, tambah 5 paun. Jika anda lebih rendah dari 5 kaki, tolak 5 paun bagi setiap inci di bawah 5 kaki.

Kemudian anda perlu tentukan samada anda mempunyai kerangka badan yang kecil, sederhana atau besar. Caranya, ukur lilit pergelangan tangan anda. Jika ia berukuran 6 inci, anda mempunyai kerangka sederhana. Jesteru berat badan yang dikira tadi tidak perlu diubah. Jika pergelangan tangan anda berukuran kurang dari 6 inci, tolak 10% dari berat yang dikira tadi. Jika melebihi 6 inci, tambah 10% kepada berat badan yang dikira.

Untuk Lelaki: Berat badan yang sesuai untuk lelaki dengan ketinggian 5 kaki adalah 106 paun. Untuk setiap satu inci tambahan, tambah 6 paun. Untuk menentukan samada anda mempunyai kerangka badan yang kecil, sederhana atau besar, ukur lilit pergelangan tangan anda. Jika ia berukuran 7 inci, anda mempunyai kerangka sederhana dan tidak perlu meminda berat badan sesuai seperti yang telah dikira. Jika pergelangan tangan anda berukuran kurang dari 7 inci, tolak 10% dari berat yang dikira tadi. Jika melebihi 7 inci, tambah 10% kepada berat badan yang dikira.

OK, sekarang anda telah mengetahui berat badan yang sesuai untuk anda. Satu dari rahsia untuk mendapat kesihatan yang unggul ialah mempunyai berat badan yang sesuai. Jika berat badan anda lebih tinggi dari berat sesuai, lakukanlah senaman untuk membakar lemak yang tidak diperlukan.

No comments:

Post a Comment